Isnin, 6 Januari 2025

Futsal di akhir tahun (setelah sekian lama)

 30 Dis 2024

Aku terjaga dari tidur, selak langsir dan melihat ke luar-hujan turun. Ketika itu kurang lebih pukul 10 pagi. Hujan turun sederhana tetapi di luar sana semua kelihatan putih dan berkabus.

Aku mencari maklumat di internet berkenaan kedai yang aku nak pergi japgi. Sebuah kedai barangan futsal. Aku perlu beli kasut sebab malam ni nak main futsal.

Sekitar tengah hari aku keluar dari rumah. Hujan telah berhenti ketika itu. Aku naik moto ke sana. Dalam 20 minit ke sana.

Sampai sana aku parking moto dan jalan dulu sekitar bangunan kedai di situ. Ia terletak dekat dengan sebuah sekolah rendah dan berhadapan dengan jalan masuk ke sebuah stadium bola.

Aku duduk di sebuah pondok bas ketika Heri sampai. Kemudian kami naik kereta dan ke kedai itu. 

Sebelum kami masuk ke kedai ada dua orang lagi lelaki yang turut sama masuk ke kedai. 

Mereka melihat kasut yang lebih high end. 

Aku mencari kasut yang lebih murah. Aku lihat di online kedai ni ada menawarkan kasut jenama line7 tetapi di kedai fizikal ni tak ada pula.

Aku akhirnya angkat satu kasut brand quaser, kebetulan masa tu ada year end sales jadi ada diskaun sikit.

Selesai di kedai itu kami pergi makan di sebuah kedai nasi kandar berdekatan rumah, Nasi Kandar Alor Staq Haji Sultan. 

Aku ambil lauk ayam goreng, kobis goreng. Dan air kosong. Sebelum bermain futsal aku cuba elakkan ambil gula terlalu banyak. Pernah suatu ketika dulu beberapa jam sebelum main futsal atau bola, gua makan aiskrim cempedak. Lepastu terus pancit masa main.

Lepas makan nasi kandar, kami pulang ke rumah masing2. Lepastu dalam sejam kami ke sebuah uptown untuk mencari kasut futsal untuk Heri pula. Waktu itu pukul 4 petang rata2 kedai di uptown masih belum buka kecuali beberapa kedai makan yang baru nak start buka.

Kami meninggalkan uptown dan pergi ke sebuah NSK di mana ada sebuah kedai kasut di situ. Heri membeli sepasang kasut di situ.

Pukul 7 malam lebih, kami dari rumah bergerak ke court futsal yang terletak 58 minit dari rumah kami. Kira2 jaraknya dalam 20km.

Kami sampai di situ dan melihat mereka telah bermain. Pemain yang lain bekerja di syarikat yang sama di mana kawan kami Iqmal bekerja. Iqmal yang telah mengajak kami untuk join malam itu. Ada la dalam 15 orang pemain malam tu bersamaan dengan 3 pasukan.

Seingat aku, mungkin aku dah lama tak main futsal, dalam 4-5 tahun macam tu. Aku rasa cepat letih kaki rasa berat untuk berlari sprint jarak pendek dalam masa singkat. Kemudian aku rasa perut rasa tarik lepas berlari. 

Aku berehat sekejap sebelum masuk main kembali.

Pelan asal main sejam, kemudian masa main tu kami tambah lagi setengah jam. Orang tak ramai sangat di court malam itu, mungkin sebab esok harinya masih hari bekerja (hari terakhir 2024).

Selepas futsal kami minum di sebuah mamak yang terletak di ground floor sebuah pangsapuri yang tinggi. Aku tak tahu berapa banyak tingkat di rumah itu, tapi dari bawah aku lihat memang tinggi ke atas dan agak menggerunkan. Pangsapuri itu terletak berhadapan dengan ofis Iqmal, sebuah pusat kepada syarikat kurier logistik.

Selepas minum kami semua bersurai dan pulang ke rumah masing-masing. 

Sehari-dua selepas bermain futsal pada umur 30an aku rasa badan rasa agak sengal-sengal. Kemudian rasa sengal-sengal urat badan itu pun beransur pulih. 



Isnin, 6 Jun 2022

Kisah ke pesta buku yang gah dan hardcore

Pagi Ahad pukul 9 adik dah wasap saya.
Dia nak confirmkan nak pergi ke pesta buku ke tak hari itu.

Saya jawab, jom.

Lepas tu saya gunakan google map untuk tengok kedai nasi kandar yang berdekatan dengan pwtc tu.

Saya mandi dan bersiap.

Mendekati tengah hari saya naik motor ke lrt stesen yang terdekat. Semakin saya mendekati stesen hujan semakin lebat. Namun saya tak basah teruk sangat. Hujan sebenarnya renyai2 saja tetapi agak pelik kerana baru pukul 11 pagi. Dari jauh sebenarnya dah nampak langit yang mendung.

Orang ramai di dalam tren. Agak bersesak. Saya turun di masjid jamek. Rasanya itu pertama kali saya di stesen masjid jamek. Saya baca papan tanda dan ikut arah pergerakan orang ramai, memanjat tangga ke atas untuk tukar tren. Adik beritahu melalui wasap dia berada di tepi trek tren.

Ketika saya sampai di tepi trek tren, orang ramai dan tren baru tiba. Saya terus berlari mencari adik, dari jauh saya nampak dia pakai baju melayu warna hijau petronas. Saya melaung kepada dia dan kami sama-sama lari masuk dalam tren, beberapa saat sebelum pintu tren tertutup.

Kami tiba di stesen pwtc dan orang memang sesak. Kami keluar dari stesen, melalui walk way di tepi sungai berjalan kaki ke restoran nasi kandar sadam. Hujan masih renyai. 

Lepas makan kami berjalan semula ke stesen pwtc, naik tangga ke atas, dan menyertai umat manusia yang sedang berjalan di walkway tepi sunway putra mall, terus menuju pwtc. Saya pernah datang ke pwtc sekali dengan tren ketika ada jualan gudang al ikhsan beberapa tahun lepas.

Di luar bangunan pwtc kelihatan food truck dan gerai jualan makanan dan minuman. Orang ramai ada yang duduk di atas lantai di tepi jalan sedang makan dan berehat.

Kemudian kami masuk ke dalam pwtc menyertai orang ramai. Keadaan sangat meriah. Dari luar terdengar macam-macam suara yang sedang berkumandang melalui pembesar suara. Tetapi suara itu tidak diendahkan dan seperti bercakap sendirian.

Kami tiba di pentas utama. Saya lihat ada tiga orang di atas pentas dan salah seorangnya ialah dr maszlee.

Saya dan adik naik ke tingkat atas.

Mula2 saya dan adik pusing dulu di setiap tingkat melihat apa yang ada. Melihat sekali lalu. Kemudian pergi ke surau untuk solat zohor. Kemudian kami naik ke tingkat atas sekali. Tiada booth di atas sekali tetapi ramai orang sedang berehat dan makan. Saya dan adik duduk sekejap mengambil nafas.

Kemudian kami berpecah. Saya dan adik meronda dengan haluan sendiri. Bila dah penat kami bertemu sekejap. Kemudian berpecah semula. Saya pergi melihat buku2 lelong di jualan itbm. Banyak buku2 yang saya nak beli dijual pada harga borong, sebijik rm5. Saya fikir dulu kalau saya beli banyak sangat pun nanti tak habis baca juga. 

Saya teroka lagi kawasan di level 1 itu, level pentas utama. Rupanya ada lagi pempamer lain di dalam bilik2 saiz sederhana dan ruang yang agak besar di belakang. Banyak publisher2 yang saya tak pernah nampak nama di dalam media sosial (mungkin saya bukan target market diorang).

Saya naik atas dan ke gerai biblio press. Saya ambil buku putera kecil, dah lama saya nak beli buku ni. Kemudian belek buku heidi, macam menarik juga. Ia terjemahan buku lama dari public domain dan fiksyen. Saya memang lebih tertarik kepada fiksyen.

Kemudian beli buku lagi dan lagi. Saya dah buat satu senarai kasar sebelum datang dan tulis dalam note henfon, tapi tak ikut sangat senarai itu. Ada yang dibeli ada yang tidak.

Saya lebih prefer buku yang nipis.

Kemudian wasap adik dan kami bertemu semula di ruang makan di tepi booth pempamer. 

Kami lepas sekejap dan berpisah semula. Sekitar pukul 5 petang ada pelancaran buku oleh seorang orang kenamaan yang adik kenal. Katanya penaung pasukan bol sepak kedah (kalau tak silap saya). Ia di pentas utama. Saya turun ke situ, dan duduk dengan adik. Masa tu kaki dah rasa nak tercabut. Orang masih ramai dan bertali arus keluar masuk. Memang meriah dan ekstrim.

Selepas habis pelancaran itu adik minta tangkap gambar dengan penulis dan saya tolong ambilkan gambar. Adik kemudian beli buku penulis tu, (buku fiksyen tentang pemain badminton muda).

Kemudian saya naik ke atas dan ke kedai gempak starz beli buku. Seterusnya saya ke surau, adik dah sampai lebih awal.

Sekitar 6 petang, kami keluar cari makanan di kawasan food truck di luar. Tapi tiada yang menarik dan juga kebanyakan meja makan di situ sudah dipenuhi. 

Kami ke sunway putra mall. Saya pernah makan ayam penyet yg dibeli oleh kawan di shopee food, di sunway putra mall itu. Jadi ada idea nak makan apa.

Kami ke food court di mall itu. Melintasi di depan pak cik yang sedang menghiburkan crowd dengan saksofon.

Ada sebuah kedai ayam penyet di food court di situ. Kami masuk makan di situ. Ketika makan rasanya tak sama dengan ayam penyet yang sama pernah makan.

Ketika turun ke bawah, nak keluar dari mall, saya nampak satu lagi kedai nasi ayam penyet. Mungkin yang tu yang saya makan dulu. 

Kami naik tren pergi ke stesen masjid jamek. Kami keluar dari stesen dan ke masjid jamek untuk solat maghrib. Pertama kali saya ke situ dan agak teruja dengan vibes nya. Lampu biru menyala di tepi sungai sebelah masjid itu dan ia cantik.

Siap solat kami masuk ke dalam stesen lrt semula, dan berjalan turun ke bawah tanah untuk stesen lrt kelana jaya line. Saya menunggu di platform 2, menghala ke putra heights dan adik menghala ke gombak untuk pulang ke kampus uia.

Tren adik tiba dulu dan dia masuk ke dalam yang penuh sesak dan melambai saya. Rasa sedih sikit bila kami berpisah hala. 

Tren saya tiba dan saya masuk ke dalam perut lrt yang sardin. Seorang gadis chinese yang berskirt putih memilih berdiri dekat depan saya, saya ketika itu di tepi pintu. Bila tren berkocak kuat dia lantas mencapai pemegang palang dan tersenyum pada saya. Aku lega kerana dia tak berlaga dengan saya. 

Kemudian di tengah jalan dia dapat duduk di kerusi bila orang dah mula keluar. 

Saya turun di stesen ara di mana saya parkir motor. Gadis chinese tadi turut sama turun di stesen ara.

Dalam banyak2 booth di pesta buku tadi, berikut buku2 yang saya beli.

Kedai dr maszlee
-siri dr maszlee kerjaya, sivik, undi 18
-kombo siri bestnya

biblio press
-putera kecil
-heidi

booth dubook press
-perempuan nan berlari
-lemoi praq
-cari perhentian mana nak berhenti
-wak stanizlaski

jualan gudang itbm
-5 buah buku

gempak starz
-3 novel ringan


Begitulah kisah nya pertama kali saya ke pesta buku pbakl.


Selasa, 10 Mei 2022

Bayar makan

Letih gila. Hari ni aku balik awal sikit, pukul 6.20 petang. Tapi terpaksa juga menghadap jem walau aku naik motor. Dari KL aku balik ke selangor.

Aku pakai tshirt collar dan tak pakai sweater macam hari2 biasa. Tapi panasnya tetap terasa. Aku belum makan tengah hari dan rasa lapar. Semasa menunggang motor aku hanya fikir kedai mana yang nak singgah.

Aku singgah restoran dekat dengan rumah pada waktu maghrib itu. Aku turun motor. Orang masih tak ramai di restoran itu.

Aku nama gerai kecil yang jual nasi minyak (yang selalu juga aku beli) buka. Aku pergi dekat adik tu, dia beritahu nasi minyak dah habis, lauk je tinggal.

Aku terus pergi duduk kat meja luar restoran tadi. Aku order teh o ais, nasi goreng biasa, sup daging, telur dadar.

Sementara aku menunggu ada satu pasangan di meja sebelah. Kurang lebih dalam umur lewat 40 an. Perempuan itu pakai tudung dan baju warna biru laut. Lelaki pula baju kemeja warna biru gelap. 

Perempuan itu menghadap ke sebelah kiri mejaku jadi aku memang dapat dengar sikit-sikit apa dia cakap. Dia seperti sedang berleterkan sesuautu, mungkin pasal kerja, tapi ia kedengaran agak tegang. 

Mula-mula aku rasa macam lelaki itu kawan kerja dia. Aku rasa mereka berdua cikgu sekolah kerajaan, atau kalau aku salah, paling tidak mereka pekerja kerajaan.

Aku tengok laki tu diam je dengar perempuan itu marah tentang sesuatu, lebih kepada berleter tentang sesuatu, dan laki tu hanya jadi pendengar. Sekejap permpuan tu berhenti, dia mengunyah makanan, kemudian dia sambung pula. Laki itu rileks je. Aku rasa kalau laki itu bukan suami dia at least laki tu dah bercakap ataupun dah chow dah.

Aku fikir mungkin inilah nasib laki-laki yang dah berkahwin, kena dengar bini mereka membebel pasal benda lain.

Kemudian aku dah habis makan. Aku tengok akak meja sebelah ni masih membebel kat laki tu. Nampak meletihkan jugak.

Kemudian aku bangun dan pergi ke kaunter untuk bayar.

Kebetulan aku ada duit lebih sikit hari tu. 

"Boleh ke saya nak bayar kat meja tu, tapi asing?" aku tanya pakcik cashier sambil tunjuk ke meja sebelah tadi.

Pak cik cashier tengok aku pelik, lepas tu dia sengetkan badan dan tengok ke meja tadi dengan sepetkan mata.

"Pak cik nampak ke diorang makan apa?"

"Awak nak bayar asing macam mana?"

"Saya nak bayar yang laki tu je, yang perempuan tu tak nak bayar."

"Kenapa?"

"Kesian tengok laki tu kena bebel."

Pak cik cashier itu membalas dengan harga yang perlu aku bayar.

Lepas bagi baki balik kat aku, dia cakap,

"Nanti bila kau dah kahwin, baru kau akan paham."

Kemudian aku blah dari situ. 

Dari jauh aku tengok laki meja sebelah tu masih mengangguk-angguk dengar perempuan itu bercakap.

Selasa, 22 Mac 2022

Mencari kedai gunting rambut

Saya bangun awal untuk ke kedai gunting rambut.
Selalu saya ke kedai gunting rambut pada ketika hari saya bercuti tetapi orang ramai bekerja (waktu pejabat), ini kerana untuk mengelakkan menunggu terlalu lama di kedai yang ramai orang. 

Hari ini bila saya pergi kedai yang selalu saya pergi, malangnya kedai itu tutup pula.

Gunting rambut ni macam terapi, macam orang perempuan pergi ke spa, atau manicure atau saloon. Kita pergi ke kedai begini untuk take care of ourself. Begitulah pada pendapat saya.

Gunting rambut ni juga salah satu cara untuk disiplin diri. Bagi saya orang yang selalu rambut panjang, lebih cenderung untuk bersikap gangster di tempat awam. Entahlah apa maksudnya tu.

Gunting rambut cara bapak disiplinkan saya. Bapak bekerja penjawat awam beruniform jadi rambutnya selalu pendek, kemas dan skema. Begitu juga rambut saya ketika bersekolah. Saya tidak pernah ke sekolah dengan rambut panjang. Selalunya botak. Kerana jika bapak bawa saya pergi gunting rambut, dia akan menyuruh tukang gunting gunting rapat dan botak seperti rekrut askar. Bapak akan minta tukang gunting menggunakan mata mesin gunting nombor dua atau satu.

Oleh kerana itu saya tidak dapat buat rambut style romeo pujaan gadis2 di sekolah. Tetapi tak apalah, saya okey je.

Tetapi bila saya sekolah menengah dan masuk asrama, kadang-kadang saya dapat miliki rambut panjang sekejap sebelum balik ke rumah. Di asrama selalunya ada kawan2 yang boleh potong rambut tapi hasilnya tidak begitu kemas. Setakat bolehlah. Pernah satu ketika sekitar tingkatan 2 rambut saya panjang. Saya sikat secara cacak tengah (gaya rambut punk trojan) ketika pergi ke prep petang. Mungkin ketika itu saya rebel. Orang kata umur 14-18 tahun waktu yang paling rebel dalam hidup seseorang manusia. Entahlah betul ke idok.

Okey kembali kepada cerita cari kedai gunting.

Untuk cari kedai gunting baru ni memang renyah sikit. Ada beberapa kedai yang nampak ok dari jauh tapi tak taulah dalamnya macam mana. Saya memilih kedai kecil di kawasan yang agak ramai orang, kawasan tumpuan. Selalunya saya akan pilih kedai gunting berbangsa India kerana sudah terbiasa dengan servis dan style mereka.

Bila pergi kedai gunting baru ni, apabila tukang gunting tanya macam mana style kita nak potong, kita kena beri arahan yang simple tetapi jelas. Kemudian bila dia mula memotong kita hanya perhatikan. Bila dah dua tiga kali ke kedai yang sama barulah akan ada satu jenis bond atau pertalian (pelanggan dan penjual). Nampaknya saya macam dah melalut dalam penulisan ni. Nantilah saya sambung dan sunting kembali. 

Sekian.

Sabtu, 26 Februari 2022

Hari tanah bergegar

Aku bangun awal hari tu sebab aku tido awal.

Aku sudah terjaga tapi masih bermalasan di atas katil, kejap bermain henfon, kejap cuba tidur balik.

Ketika aku cuba tidur balik aku rasakan seperti katilku bergerak sendiri. Ketika itu aku hanya fikir yang rumah pangsapuriku ini yang nak runtuh dan tanahnya bergerak-gerak. 

Ini kerana kadang-kadang aku dapati ada jubin di ruang tamu yang tertanggal sendiri di bahagian dinding bawah dan pada satu hari yang lain ada kesan serpihan siling dan habuk siling yang jatuh di atas kaunter di dapur rumah.

Selepas itu aku buat keputusan untuk bangun saja dari tidur lalu aku ke bilik air, membersihakan diri.

Selesai di bilik air aku lihat ada 2 missed call di telepon, ia  dari Kemal. Aku lihat di grup wasap Kemal memberitahu di tempat kerjanya ada rasa gegaran dan semua pekerja disuruh berkumpul di luar.

Di grup satu lagi ada orang yang berkongsi link dari twitter, berkenaan gempa bumi yang berlaku di utara sumatra, indonesia pada pagi ini, 25 feb 2022.

Aku terus masuk ke twitter untuk membaca reaksi2 yang lain. Ketika itu aku sedar yang ketika katilku bergerak sendiri tadi, aku sedang merasai impak gempa bumi.

*** 

Aku pergi ke surau berdekatan rumah, ketika nak masuk ke surau itu untuk solat jumaat, ajk surau yang berkumpul di bawah sebuah khemah di depan pintu pagar surau.

"Dah ambik vaksin booster?" tanya salah seorang dari mereka.

Aku hanya mengangguk dan mereka benarkan aku masuk.

"Nanti scan kehadiran yang di tiang surau," pesannya orang yang sama padaku.

Lepas Jumaat aku ke kedai makan Kelantan yang terletak 5 minit dari rumah. Aku order nasi kerabu nasi tambah. Lauk ayam goreng berempah dan telur masin separuh. Air kopi o ais.

Bila aku habis makan Harry beritahu yang dia otw datang. Dia sampai dan mengambil nasi minyak dan ayam masak merah. Lauk ayam masak merah di kedai tu memang pedas menyengat.

Aku beritahu Harry yang petang tu aku nak jogging.

Selesai makan kami pulang ke rumah masing2.

Petang tu hujan turun. Aku tak jadi joging. Aku di bilik menonton siri tv Peacemaker.

*** 

Dalam pukul 7 malam lebih2 aku naik motor ke rumah Harry. Hujan turun renyai2 tapi tetap sejuk. Aku parking motor di bawah pangsapuri kemudian kami naik kereta ke court badminton.

Kami main berdua dulu sebelum Kemal dan Biha tiba. Kami hany tempah court sejam. Aku bermain dengan racket baru berjenama Felet. Ketegangan tali raket yang dijahit adalah 27. Aku beli di shopee dengan beg raket sekali. Kedai itu dah siap jahitkan tali raket.

Lampu court 12 ditutup menandakan masa kami dah tamat.

Kami pulang ke pangsapuri Harry. Kemal tinggalkan keretanya di situ dan kami berempat menaiki kereta Harry ke uptown kota dame.

Aku ambil yong tau fu. Kena rm20. Aku pilih kuah pedas dan kacang sahaja. Kuah manis aku tak pilih. Kami lepak sampai pukul 12 sambil bersembang dan dengar brader yang busking lagu sedih dan rock itu nyanyi. Minggu lepas ada brader yang main drum elektronik tu teman dia, tapi malam ni tak ada pula.

Kemal beritahu dia ada interview online untuk kerja baru pada tengahari besok. Lepas di uptown kota dame itu kami pusing2 dengan kereta ke area tempat kerja yang Kemal nak interview esok. Saja jalan2 dan tengok kawasan.

Lepas tu kami pulang ke rumah. Aku tido di rumah Harry malam tu sebab dah lewat dan tak larat nak balik kerumahku.


Isnin, 14 Februari 2022

Kuantan dan kenduri

Kami ke Kuantan untuk kenduri Alep.

Bertolak sekitar pukul 9 pagi Sabtu dari Subang. Aku tidur di rumah Heri pada malam tadi.

Di pertengahan jalan kami bertemu keluarga Sha di sebuah rnr, kemudian mereka follow belakang kereta kami.

Kami tiba di Kuantan sekitar 12.30 tengah hari. Kuantan terasa panas. Pada pandanganku hari itu tak sibuk sangat tapi tetap meriah.

Kami terus ke tanjung lumpur ke sebuah tempat bernama timorra venue. Di situlah majlis kenduri diadakan.

Kereta telah memnuhi ruangan parkir di depan dewan itu tetapi masih ada lagi parkir yang kosong untuk diisi. Dari luar sudah boleh nampak dan dengar kemeriahan majlis. Masuk ke dewan aku agak keliru kerana nampak sepasang pengantin berbaju kuning di atas pentas pelamin dan pengantin lelaki itu bukannya Alep. Kemudian aku nampak Alep dan pasangan yang berbaju kahwin merah berada di sisi pentas pelamin itu. Setelah aku diingatkan barulah aku ingat kembali ini majlis Alep dan adik perempuannya, sebab tu ada 2 pasangan pengantin.

Kami mengambil tempat duduk di meja bulat di sebelah kiri depan dewan, tak jauh dari pentas. Aku pergi mengambil makanan, nasi minyak, gulai daging, ayam masak merah, acar timun dan potongan buah epal merah yang telah ditabur serbuk asam. Aku mengambil air perasa anggur sebagai pelengkap hidangan.

Kemudian kawan kami Khu tiba bersama 2 orang kawannya yang lain. Mereka duduk di meja belakang kami. Selepas makan kami duduk berbual di meja sambil melayan keletah anak kecil Sha. Kami pergi bergambar dengan Alep dan pasangan di atas pentas pelamin. Setelah bergambar kami pun beransur dari majlis itu.

Kami ke hotel Sentral untuk check in. Hotel telah ditempah melalui laman booking pada 2 hari lepas. Kemudian aku dan Heri bilik sekali di tingkat 3 manakala Iqmal dan wife di tingkat 4. Bilik aku dan Heri tidak mendapat pemandangan yang menarik tetapi bilik Iqmal mendapat pandangan sungai Kuantan.

Aku hanya melayan filem avengers infinity war yang bermain di tv bilik.

Pukul 6 petang kami keluar semula ke bandar. Parkir kereta terletak di belakang hotel ini dan betul2 di tepi sungai kuantan. Boleh nampak orang2 tempatan yang datang memancing di laluan pejalan kaki di tepi sungai itu. Sebuah menara tinggi bernama menara teruntum hanyalah dua tiga langkah dari situ. Malah parkir untuk menara itu terletak bersebelahan parkir hotel kami.

Kami ke tanjung lumpur sekali lagi untuk ke restoran ana ikan bakar petai, yang terletak berdekatan dengan venue majlis kahwin alep tadi, dan juga berdekatan dengan sebuah hotel yang agak gah Swiss-Belhotel Kuantan. Di hotel itualh famili Sha menginap.

Aku dan Heri beratur di laluan masuk restoran untuk menempah meja. Aku tak ingata sangat tapi mungkin kami menunggu sekitar 15 minit sebelum mendapat meja untuk 10 orang.

Iqmal dan Biha datang join kami setelah itu. Tidak lama kemudian famili Sha dan kumpulan Khu pun datang. Pada mulanya kami telah memesan hidangan basic iaitu nasi puih, sup, tomyam, telur dadar, kailan ikan masing dan air. Setelah semua datang barulah kami berbincang tentang hidangan makanan laut segar.

Golongan lelaki dalam kumpoulan telah ditugaskan untuk pergi memilih hidangan laut. Ekspedisi ini telah diketuai oleh suami Sha, iaitu Hisyam dengan ditemani oleh Iqmal. 3 ekor ikan siakap telah dipilih. Mengikut pak cik yang jaga kaunter ikan segar, saiz ikan siakap di situ boleh dikelaskan sscara general dalam tiga kelas iaitu 700g, 800g dan 900g. Untuk siakap 100g ialah bersamaan harga rm6. Jadi seekor ikan yang kami ambil itu harga seekor lebih kurang rm49.

Aku dan heri pilih dua ekor sotong. Aku memilih yang sedang saiznya. Sotong celup tepung. Kemudian tambah siput lala sebungkus yang aku tak tahu berapa timbagan beratnya. Lala masak pedas. Tiga siakap itu dimasak bakar petai, tiga rasa dan stim halia.

Tidak lama kemudian makanan tiba satu persatu. Kami makan sehingga kenyang. Sekitar jam 10.30 malam kami beransur dari restoran itu dan membawa haluan masing2. Tiga kumpulan ini masing2 menetap di hotel lain2. 

Kumpulan aku pulang ke hotel kami dan berjalan-jalan di laluan pejalan kaki di tepi sungai. Ramai orang yang memancing, famili dan kanak2 yang berlibur di sekitar itu pada malam itu. Ada yang melayan skuter elektrik atau kereta kawalan jauh yang boleh dinaiki anak kecil yang mempunyai lampu2 berwarna warni itu. Ada yang menaiki menara teruntum.

Aku buat keputusan untuk melintasi jalan menggunakan jejantas seorang diri dan pergi ke kuantan street art yang terletak di laluan belakang bangunana kedai. Ramai juga orang dikwasan itu dengan lampu yang terang bendenrang. Ada sebuah event jualan yang sedang berlangusng yang beranma Pasar Dinda. Angin agak kuat bertiup. Kemudian aku bergerak ke pasar malam masjid negeri. Aku membeli sepotong kunafeh dan kuih nutella kacang. Kemudian aku pulang ke hotel untuk tidur.


Hari kedua, Ahad

Heri bersiap awal dan keluar bersarapan secara solo ke sebuah restoran bernama restoran kita. 15 minit berjalan kaki katanya dari hotel kami. Aku memesan nasi lemak ayam bungkus padanya. Iqmal dan Biha keluar bersarapan menaiki kereta di restoran mabiq yang berdekatan dengan titi untuk ke tanjung lumpur. 

Selepas bersiap dan menunggu lif untuk turun aku bertemu Heri yang membawa nasi lemak ayam. Aku berpatah balik dan makan nasi lemak itu di dalam bilik.

Selepas itu kami berjalan ke tingkat atas dan ketika menuggu lif untuk ke bawah kami bertemu pula Iqmal dan Biha. Iqmal pulang dengan membawa sata dan otak2 dan kami pergi lepak di bilik mereka sambil makan dan menikmati pandangan riverview.

Sekitar pukul 11 pagi lebih kami daftar keluar dari hotel. Letak barang di kereta yag diparkir di depan pintu hotel. Kami berjalan ke kula cakes yang terletak berhaadapan menara teruntum. 

Ada 2-3 orang yang beratur di kula cakes. Aku dan Heri beratur untuk masuk ke dalam. Biha dan Iqmal pula pergi mengambil meja untuk dine in di sebelah kula cakes itu. 

Kami memesan:

mango cheesecake

burnt cheesecake

brownies 3 ketul

peanut butter pie

Selesai di kula cakes kami ke kedai iphone berdekatan dengan restoran mabiq tempat iqmal dan biha bersarapan. Iqmal pick up telefon yang telah ditempah semalam.

Selesai di situ kami pusing bandar satu kali kemudian ke sebuah bakeri bernama Sedo Sekilau donut bakery untuk membeli donut gebu. Sebuah bakeri lokal dengan pilihan donut seperti big apple atau dunkin donut atau krespe kreme.

Kemudian selepas itu tiada tempat lagi untuk ditujut ke kuantan kami  bertolak pulang ke kotaraya.


Khamis, 27 Januari 2022

Hari Kelahiran

Cerita bermula macam biasa, aku dari pagi tak makan sampai ke petang. Hari tu hari Rabu.

Kemudian aku nak pergi ke rumah Heri di pangsapuri mentari, aku pergi beli nasi ayam + nasi lemak dulu.

Dalam perjalanan aku singgah pula di pasar malam di kawasan kilang dekat dengan rumah aku. Pertama kali aku ke pasar malam itu, selama ni hanya nampak bila lalu sahaja. Ada sebuah gerai jual yong tau fu, tapi akhirnya aku tak beli pun. Aku beli ayam goreng dan sesikat pisang.

Sampai di rumah Heri, dia sedang main game. Aku terus makan sebab lapar. Lepas aku setel makan, kedengaran di bawah bunyi mesin fogging sedang mula beroperasi. Aku dan Heri buat rileks je.

Makin lama makin kuat bunyi tu, dan ruang rumah Heri mula diselaputi asap putih macam dalam filem thriller. Kami lari duduk di bilik belakang, aku bersembunyi dalam bilik air sekejap, kemudian kami duduk dalam bilik tengah pula. Memang tahap dah tak boleh bernafas. Aku suggest kat Heri yang kami kena keluar.

Kami keluar duduk di bawah, dekat paip air warna biru, depan public phone.

Sampai pukul 7 malam, lihat blok 2 di depan kami pula di fogging. 

Pukul 8 malam aku, Heri, Kemal dan Biha pergi makan di roti canai terbang.

Kami duduk bawah pokok. Pasir di situ warna hitam dan kasar, macam dekat kawasan gunung berapi.

Tengah-tengah lepak tu hujan pula turun. Kami lari masuk ke dalam kedai.

Lepas habis lepak tu kami balik ler.

Aku tido rumah Heri malam tu. Sekitar pukul 2 pagi dia kejut aku, dia dah bersiap macam nak keluar. Dia beritahu wife dia, Pot, dah masuk hospital, mungkin waktu bersalin dah nak tiba. Jadi malam tu Heri nak bertolak ke Kedah. 

Dia tinggal kunci rumah kat aku. Lepas Heri blah, aku sambung tido.

Esok pagi aku bangun dan layan book of boba fett episod 4 sebelum blah.

Aku balik rumah dan melayari komputer. Tengah hari tu aku nampak Heri tweet something. Aku tahu anak dia dah selamat dilahirkan.