Isnin, 6 Januari 2025

Futsal di akhir tahun (setelah sekian lama)

 30 Dis 2024

Aku terjaga dari tidur, selak langsir dan melihat ke luar-hujan turun. Ketika itu kurang lebih pukul 10 pagi. Hujan turun sederhana tetapi di luar sana semua kelihatan putih dan berkabus.

Aku mencari maklumat di internet berkenaan kedai yang aku nak pergi japgi. Sebuah kedai barangan futsal. Aku perlu beli kasut sebab malam ni nak main futsal.

Sekitar tengah hari aku keluar dari rumah. Hujan telah berhenti ketika itu. Aku naik moto ke sana. Dalam 20 minit ke sana.

Sampai sana aku parking moto dan jalan dulu sekitar bangunan kedai di situ. Ia terletak dekat dengan sebuah sekolah rendah dan berhadapan dengan jalan masuk ke sebuah stadium bola.

Aku duduk di sebuah pondok bas ketika Heri sampai. Kemudian kami naik kereta dan ke kedai itu. 

Sebelum kami masuk ke kedai ada dua orang lagi lelaki yang turut sama masuk ke kedai. 

Mereka melihat kasut yang lebih high end. 

Aku mencari kasut yang lebih murah. Aku lihat di online kedai ni ada menawarkan kasut jenama line7 tetapi di kedai fizikal ni tak ada pula.

Aku akhirnya angkat satu kasut brand quaser, kebetulan masa tu ada year end sales jadi ada diskaun sikit.

Selesai di kedai itu kami pergi makan di sebuah kedai nasi kandar berdekatan rumah, Nasi Kandar Alor Staq Haji Sultan. 

Aku ambil lauk ayam goreng, kobis goreng. Dan air kosong. Sebelum bermain futsal aku cuba elakkan ambil gula terlalu banyak. Pernah suatu ketika dulu beberapa jam sebelum main futsal atau bola, gua makan aiskrim cempedak. Lepastu terus pancit masa main.

Lepas makan nasi kandar, kami pulang ke rumah masing2. Lepastu dalam sejam kami ke sebuah uptown untuk mencari kasut futsal untuk Heri pula. Waktu itu pukul 4 petang rata2 kedai di uptown masih belum buka kecuali beberapa kedai makan yang baru nak start buka.

Kami meninggalkan uptown dan pergi ke sebuah NSK di mana ada sebuah kedai kasut di situ. Heri membeli sepasang kasut di situ.

Pukul 7 malam lebih, kami dari rumah bergerak ke court futsal yang terletak 58 minit dari rumah kami. Kira2 jaraknya dalam 20km.

Kami sampai di situ dan melihat mereka telah bermain. Pemain yang lain bekerja di syarikat yang sama di mana kawan kami Iqmal bekerja. Iqmal yang telah mengajak kami untuk join malam itu. Ada la dalam 15 orang pemain malam tu bersamaan dengan 3 pasukan.

Seingat aku, mungkin aku dah lama tak main futsal, dalam 4-5 tahun macam tu. Aku rasa cepat letih kaki rasa berat untuk berlari sprint jarak pendek dalam masa singkat. Kemudian aku rasa perut rasa tarik lepas berlari. 

Aku berehat sekejap sebelum masuk main kembali.

Pelan asal main sejam, kemudian masa main tu kami tambah lagi setengah jam. Orang tak ramai sangat di court malam itu, mungkin sebab esok harinya masih hari bekerja (hari terakhir 2024).

Selepas futsal kami minum di sebuah mamak yang terletak di ground floor sebuah pangsapuri yang tinggi. Aku tak tahu berapa banyak tingkat di rumah itu, tapi dari bawah aku lihat memang tinggi ke atas dan agak menggerunkan. Pangsapuri itu terletak berhadapan dengan ofis Iqmal, sebuah pusat kepada syarikat kurier logistik.

Selepas minum kami semua bersurai dan pulang ke rumah masing-masing. 

Sehari-dua selepas bermain futsal pada umur 30an aku rasa badan rasa agak sengal-sengal. Kemudian rasa sengal-sengal urat badan itu pun beransur pulih. 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan